© Ustaz Ismail Haji Awang

RENUNGAN : MADAH HARI INI...

Apabila Allah membantu usaha-usaha hamba-Nya yang mukmin dengan keredhaan-Nya, sama ada di sudut ekonomi, pembangunan, ketenteraan dan lain-lain kerana ketaqwaan hamba-hamba-Nya, terutama pemimpin, di samping mendapat kejayaan dan pahala, ia berlaku sekali dengan sifat-sifat terpuji seperti merendah diri di dalam kejayaan, timbul perpaduan, keharmonian, pemurah, bertimbang rasa, bertolak ansur, jujur, taat, setia, sabar, redha, adil, terlalu sedikit maksiat, masyarakat bersih daripada gejala-gejala tidak sihat. Tapi apabila usaha-usaha kita berjaya dengan kemurkaan (dengan istidraj) justeru di dalam kita membangun, dalam masa yang sama kita derhaka kepada-Nya, maka akan berlaku side effect dari kemajuan itu iaitu lahir orang-orang yang jahat, timbul kerosakan akhlak, terjadi perpecahan, perbalahan, perpaduan punah, disiplin hidup tiada, berfoya-foya, pergaulan bebas, menjadi-jadi zina, dadah, masyarakat huru-hara, hidup di dalam kebimbangan dan ketakutan. Kemajuan yang pesat hanya boleh dimegah-megah dan dibangga-bangga sahaja, namun hidup terseksa. Di sinilah perlunya keredhaan dan berkat dari Allah di dalam semua usaha kita.
.
Madah 2 : Mencari ilmu tidak ada salahnya, yang salah kerana ilmu korbankan iman. Mencari rezeki memang tidak salah, yang salahnya kerana rezeki korbankan maruah. Membangun tidak dilarang adakalanya fardhu kifayah, yang dilarang ialah kerana membangun rosak syariat dan akhlak. Bergaul dengan orang kafir atau fasik tidak menjadi satu kesalahan, yang menjadi kesalahan itu bila bergaul dengan mereka korbankan prinsip. Mencari kekayaan bukanlah satu kesalahan, yang salah itu mencari kekayaan tidak kira halal haram. Kita mendapat pangkat bukanlah satu kesalahan, yang salah itu kerana pangkat melanggar tata susila dan menjatuhkan orang lain.
.
Madah 3 : Disiplin harian umat Islam yang sebaik-baiknya di waktu malam sunyi dia memohon, munajat mengadu kepada Allah, bangun sebelum Subuh, waktu bangun memuji Allah serta niat sepanjang hari itu hendak membuat baik, sembahyang lima waktu berjemaah, kalau boleh sembahyang Dhuha, tidur sebelum Zuhur qailullah namanya, tidak tidur selepas Asar dan Subuh, selepas Isyak membaca sedikit atau rehat sedikit atau buat perbincangan dengan keluarga, selepas itu pergi ke tempat tidur, sebelum tidur bertaubat dan berzikir sebanyak-banyaknya hingga tertidur dengan taubat dan zikir. Begitulah dibuat sepanjang masa kecuali kalau ada hal-hal yang mendadak sama ada masalah peribadi mahupun masalah masyarakat. Ubahsuailah dengan suasana dengan tidak mengorbankan yang wajib. Beginilah disiplin harian umat Islam kalau kita ingin memperkatakan disiplin.

>